Cara Mencegah Kehamilan

Kaedah pencegahan kehamilan untuk lelaki dan wanita.

Kira-kira 85% wanita yang aktif berhubungan seksual dan tidak menggunakan apa-apa alat pencegah kehamilan, akan hamil dalam masa setahun. Seorang wanita boleh hamil semasa menyusukan anak, dari kira-kira 10 hari selepas bersalin, dan juga semasa datang haid. Kaedah azal (penarikan keluar zakar sebelum ejakulasi) dan mengawal diri dari melakukan seks secara berkala tidak akan mencegah kehamilan atau penyebaran jangkitan penyakit kelamin dari terjadi. Anda boleh baca mengenai beberapa jenis alat pencegah kehamilan di sini.

Anda boleh mencegah kehamilan yang tidak diingini dengan:

1- Pengawalan diri secara keseluruhan

2- Penggunaan alat pencegah kehamilan

Sekiranya anda aktif berhubungan seksual dan tidak mahu hamil, sila gunakan alat pencegah kehamilan.

Kaedah kontraseptif (pencegahan kehamilan):

Tiada kaedah kontraseptif yang menjamin 100% perlindungan dan keberkesanan.

Kondom getah adalah satu-satunya kaedah kontraseptif yang dianggap paling berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin (STD). Pil perancang, implan, dan IUD tidak melindungi anda dari jangkitan STD. Apabila anda mula menggunakan kontraseptif, sila cari peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan seksual termasuk HIV. Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana STD tidak selalunya menunjukkan tanda-tanda atau gejala.

Untuk Para Wanita

DIAPHRAGM adalah cakera getah dengan rim fleksibel yang menutupi serviks dan mesti digunakan bersama dengan spermisida. Ia hanya boleh didapati dengan preskripsi dan mesti diletakkan dengan saiz yang tepat oleh seorang pakar kesihatan profesional. Diaphragm memberi perlindungan selama 6 jam dan perlu dibiarkan di tempatnya selama sekurang-kurangnya 6 jam selepas hubungan seks tetapi tidak sepatutnya dibiarkan lebih lama dari 24 jam.

PIL KONTRASEPTIF ORAL melindungi kehamilan dari terjadi dengan hasil gabungan tindakan hormon estrogen dan progestin. Hormon tersebut mencegah dari terjadinya ovulasi. Pil tersebut perlu diambil setiap hari seperti yang diarahkan dan tidak berfungsi sekiranya anda muntah atau cirit-birit. Kesan sampingan dari pil tersebut adalah rasa mual dan loya, pening kepala, payudara terasa lembut, penambahan berat badan, pendarahan tidak teratur, dan kemurungan.

DEPO-PROVERA adalah kontraseptif hormon yang disuntik ke dalam otot di lengan atau punggung setiap 3 bulan. Suntikan mesti diulangi pada setiap 3 bulan. Haid akan menjadi tidak teratur dan kadang-kala tidak akan ada langsung.

IMPLAN (seperti Norplant atau implanon) adalah diperbuat daripada batang silinder getah yang kecil, yang ditanam di bawah kulit secara pembedahan pada bahagian atas lengan, di mana ia akan melepaskan steroid kontraseptif yang dipanggil levonorgestrel. Perlindungan yang diberikan boleh berlanjutan dari 3 sehingga 5 tahun. Kesan sampingannya termasuk perubahan kitaran haid, penambahan berat badan, payudara terasa lembut, dan kehilangan jisim tulang.

IUD jenis kuprum adalah alat berbentuk T yang dimasukkan ke dalam Rahim oleh pakar kesihatan profesional. IUD boleh dibiarkan di dalam Rahim selama 5 – 10 tahun. IUD mempunyai kadar kegagalan keberkesanan yang paling rendah dalam kebanyakan kaedah kontraseptif. Kadangkala IUD boleh terkeluar dan wanita tersebut perlu memeriksa benang IUD masih terdapat di dalam badan dengan jari selepas datang haid. Kesan sampingan lainnya adalah pendarahan abnormal dan kekejangan, tetapi ini biasanya berlaku semasa dan selepas kemasukan IUD ke dalam badan.

IUD jenis hormon adalah IUD dengan hormon progestogen. Ia adalah salah satu kaedah pencegahan kehamilan yang paling berkesan. Di samping ciri-ciri IUD yang telah dinyatakan di atas, ia boleh berada di dalam tubuh selama 5 tahun, tanpa sebarang kesan sampingan seperti pendarahan yang berat. Oleh kerana kebanyakan wanita mengalami datang haid yang ringan dan kurang pendarahan (sesetengah mereka berhenti datang haid), ia sepatutnya menjadi terapi yang sempurna buat wanita yang mempunyai kitaran pendarahan yang berat.

PEMANDULAN WANITA dilakukan secara pembedahan. Saluran tiub akan dipotong dan diikat, bagi mengelakkan sel-sel telur dari sel-sel sperma dan mencegah kehamilan pada masa hadapan. Ia adalah kaedah kontraseptif yang kekal.

KONDOM WANITA diperbuat daripada getah lembut dan hanya boleh digunakan sekali sahaja. Sebagai kaedah penghalang mekanikal kontraseptif, ia dimasukkan ke dalam faraj dengan mudah sebelum seks dan menghalang sentuhan faraj dengan air mani secara langsung, jangkitan lelehan kelamin, dan lesi kelamin (luka yang terdedah). Ia berbentuk seperti sebuah sarung atau tiub yang panjang, dengan satu hujung yang tertutup dan satu lagi hujun yang terbuka, dan pada setiap hujung, terdapat gelung yang fleksibel, untuk membantu meletakkan kondom wanita di tempatnya selepas ia dimasukkan. Kondom adalah kaedah yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus yang menyebabkan AIDS dan jangkitan penyakit kelamin (STD) lain.

PIL PERANCANG KECEMASAN perlu diambil dalam masa 3 hari selepas hubungan seks tanpa perlindungan, bergantung kepada jenis pil yang digunakan. Bagaimanapun, lebih cepat ia digunakan, lebih berkesan. Ia menghalang kehamilan yang tidak dirancang dengan melambatkan proses ovulasi. Kebanyakan gabungan pil perancangan kehamilan (estrogens dan progesterone) juga boleh digunakan. Sila ambil dalam masa 72 jam selepas seks tanpa perlindungan. Ambil satu dos 100 µg ethinylestradiol (sama dengan 2 atau 4 pil perancang, bergantung kepada jumlah ethinylestradiol dalam setiap pil), dan dos kedua 12 jam kemudian.

MORNING-AFTER IUD jenis kuprum mesti dimasukkan ke dalam tubuh dalam masa 5 hari selepas hubungan seks tanpa perlindungan. IUD boleh bertahan selama 5 sehingga 10 tahun.

 

 

Untuk Para Lelaki

KONDOM biasanya diperbuat daripada getah nipis dan hanya boleh digunakan sekali sahaja. Ada yang mempunyai spermisida tambahan untuk membunuh sperma. Ia bertindak sebagai penghalang mekanikal, untuk mengelakkan sentuhan faraj dengan air mani secara langsung, jangkitan lelehan kelamin, dan lesi kelamin (luka yang terdedah). Kondom adalah kaedah yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus yang menyebabkan AIDS dan jangkitan penyakit kelamin (STD) lain. Adalah amat penting untuk memakai kondom dengan sempurna sebelum melakukan hubungan seks.

PEMANDULAN LELAKI yang juga dikenali sebagai vasektomi, adalah pembedahan ringkas yang dilakukan di bawah pengaruh anestesia dengan kemungkinan berlakunya komplikasi pasca-pembedahan, seperti pendarahan atau jangkitan. Keupayaan untuk mendapat ereksi dan ejakulasi tidak hilang. Sel-sel sperma hanya sebahagian kecil (1%) dari cecair badan dan lelaki tersebut tidak akan merasakan apa-apa perbezaan semasa ejakulasi. Tubuh akan menyerap sel sperma.