Pengguguran secara perubatan sangatlah berkesan, sekiranya anda mengambil gabungan Mifepristone dan Misoprostol, yang berkesan sebanyak 95-98% dalam tempoh hamil 11-12 minggu. Penggunaan Misoprostol sahaja juga berkesan, sebanyak 80-85%. Terdapat keadaan di mana pil pengguguran tidak menamatkan kehamilan anda, sekiranya anda hamil luar rahim (kehamilan ektopik), anda mempunyai masalah perubatan (alah kepada Mifepristone atau Misoprostol), atau anda tidak mengambil pil seperti yang disarankan. Mungkin juga pil yang anda dapatkan bukanlah pil pengguguran, sekiranya anda mendapatkan pil tersebut dari sumber yang tidak disahkan.
Selepas menggunakan pil pengguguran, simptom kehamilan anda sepatutnya hilang. Sekiranya ia berterusan, anda harus menjalani semakan ultrasound untuk mengesahkan sama ada anda masih hamil, dan sekiranya anda masih hamil, berapakah usia kehamilan anda. Amatlah penting untuk anda tahu berapakah usia kehamilan anda. Hal ini kerana, sekiranya anda berniat untuk mengambil pil pengguguran lagi, anda tahu berapakah jangka masa yang sesuai, selamat dan berkesan. Contohnya, anda mengambil pil pengguguran semasa kehamilan 5 minggu, dan anda ingin mengambilnya lagi pada minggu ke 9, anda tahu bahawa Mifepristone dan Misoprostol berkesan apabila diambil sebelum minggu ke 11 kehamilan. Penting untuk anda mengambil pil tersebut sesegera yang mungkin.
Mendapatkan semakan ultrasound lebih utama dari sekadar mengambil ujian kehamilan. Bukan sahaja ia boleh memberitahu usia kehamilan anda, ia juga boleh mengesahkan sama ada anda masih hamil lebih cepat dari ujian kehamilan. Sekiranya anda mengambil ujian air kencing sejurus selepas mengambil pil pengguguran, atau seminggu kemudian, ujian tersebut mungkin tidak tepat, kerana hormon kehamilan masih ada dalam badan anda walaupun anda sudah tidak hamil. Ia akan mengambil masa 3-4 minggu untuk hormon ini hilang. Anda tidak mahu menunggu selama itu untuk mengesahkan kejayaan pengguguran anda. Semakin lama anda menunggu, semakin lama tempoh kehamilan anda, dan semakin mahal dan rumit untuk proses yang seterusnya.
Sekiranya anda sudah mengesahkan yang anda masih hamil, anda mempunyai beberapa pilihan. Anda boleh mengambil pil pengguguran lagi (sekiranya anda tidak hamil luar rahim, mempunyai masalah perubatan atau alahan). Anda juga boleh mencuba cara lain untuk mendapatkan pengguguran, secara pembedahan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan, sila hubungi kami melalui emel, info@womenonweb.org. Kami sedia membantu anda.