Cara Menggugurkan Kandungan

Ramai wanita memerlukan perkhidmatan pengguguran. Walau bagaimanapun, ini bukannya suatu keputusan yang mudah untuk dibuat. Banyak persoalan yang akan timbul ketika memikirkan tentang pengguguran; bermula dari aspek undang-undang, agama, kos pembiayaan, dan stigma sosial dari masyarakat. Persoalan yang utama mungkin adalah bagaimana caranya untuk menggugurkan kandungan? Ketika para wanita yang terdesak ini mencari maklumat mengenai pengguguran melalui Internet, berbincang dengan rakan-rakan, melihat video-video amatur, mereka malah menemui cerita atau maklumat yang menyeramkan dan membahayakan. Adakah wujud cara menggugurkan kandungan yang selamat?

Wanita boleh menggugurkan kandungan dengan cara yang selamat. Ada dua kaedah selamat untuk menghentikan kehamilan. Selain itu, ada juga kaedah lain yang tidak selamat, justeru boleh membahayakan kesihatan wanita. Ada juga sesetengah orang yang mengatakan bahawa pengguguran boleh dilakukan melalui pengambilan makanan. Adakah buah nenas betul-betul berkesan untuk menggugurkan kandungan?

KAEDAH PENGGUGURAN YANG SELAMAT

Pengguguran dengan Ubat-Ubatan

Menggugurkan kandungan boleh dilakukan dengan menggunakan pil pengguguran. Jika ubat-ubatan yang digunakan benar-benar terjamin keasliannya dan anda mendapatkannya dari sumber yang boleh dipercayai, pengguguran secara perubatan merupakan pilihan yang selamat bagi mereka yang hamil sehingga 12 minggu tempoh kehamilan. Terdapat dua cara untuk menghentikan kehamilan dengan menggunakan ubat-ubatan.

 

Mifepristone dan Misoprostol

Mifepristone dan Misoprostol mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi, iaitu hampir 99%. Mifepristone merupakan ubat untuk menghalang hormon progesteron yang diperlukan dalam perkembangan kehamilan. Tanpa hormon ini, pelekatan sel telur pada dinding rahim akan terganggu. Kemudian, gunakan ubat Misoprostol. Misoprostol merangsang pengecutan yang akan membantu keluarnya hasil kehamilan dari dalam rahim.

 

Misoprostol atau Cytotec sahaja

Para wanita juga boleh menggunakan ubat Misoprostol sahaja untuk menggugurkan kandungan. Dos yang digunakan adalah berbeza jika dibandingkan dengan gabungan ubat Mifepristone dengan Misoprostol. Kadar keberkesanannya boleh mencapai 94%. Jadi, apa itu Cytotec? Cytotec adalah salah satu nama jenama popular Misoprostol yang teredar di pasaran.

 

Pengkuretan atau Penyedutan Vakum

Kaedah lain untuk menggugurkan kandungan adalah melalui pembedahan (surgical) yang biasanya memerlukan bantuan doktor perubatan atau pegawai kesihatan. Ada dua jenis kaedah pengguguran melalui pembedahan, iaitu pengkuretan tajam dan penyedutan dengan vakum (dilakukan secara manual atau elektronik). Pengkuretan tajam sebenarnya sudah diharamkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization – WHO) kerana mempunyai risiko terhadap kesihatan wanita. Jika masih diamalkan, WHO menyarankan untuk menggantikannya dengan kaedah penyedutan vakum.

 

Pengguguran Selepas Trimester Kedua

Untuk kehamilan trimester kedua, kaedahnya lebih sulit kerana saiz ukuran janin lebih besar. Jadi selalunya tiub penyedut tidak cukup besar melainkan memerlukan peralatan yang khusus seperti playar dengan hujung yang bulat. Kaedah ini sering juga disebut sebagai dilatasi dan penarikan keseluruhan bayi / evakuasi (D&E).

Ubat Misoprostol sebaiknya tidak digunakan untuk kehamilan selepas 20 minggu. Janin sudah boleh hidup di luar rahim selepas 20 minggu. Penggunaan ubat Misoprostol boleh mengakibatkan kepada kelahiran spontan bayi yang masih hidup dan risiko komplikasi akan meningkat dengan lebih tinggi.

 

KAEDAH PENGGUGURAN YANG TIDAK SELAMAT DAN TIDAK BERKESAN

Cara Menggugurkan Kandungan dengan Makanan dan Minuman

Ramai perempuan mencari cara untuk menggugurkan kandungan secara semulajadi. Mereka menemui maklumat di Internet atau dari mulut ke mulut yang ada menyebutkan cara menggugurkan kandungan dengan memakan buah nenas dan buah betik muda, atau minum minuman berkarbonat dan minuman beralkohol. Ini semua tidak akan menyebabkan keguguran. Bahkah, ada juga yang menyarankan untuk mencampurnya dengan ubat demam, dan juga ubat nyamuk. Ini akan membahayakan kesihatan wanita sehingga boleh mengancam nyawa mereka.

 

Cara Menggugurkan Kandungan dengan Menggunakan Herba

Adakah benar kunyit boleh menggugurkan kandungan? Tidak. Bagaimana pula dengan rempah ratus yang lain? Ia juga tidak dapat menggugurkan kandungan. Ramai wanita mencuba kaedah herba dan rempah ratus ini dan mengakibatkan kepada kehamilan yang berlanjutan sehingga terlebih bulan. Ini sekaligus menjadikan kehamilan wanita semakin lama dan malah akan meningkatkan risiko komplikasi akan terjadi.

 

Kaedah Pengguguran Lain Yang Tidak Selamat

Ramai wanita menceritakan pengalaman mereka mengenai usaha-usaha untuk melakukan pengguguran. Ada wanita yang melakukan urutan pengguguran, ada juga yang memukul-mukul perut mereka. Ada yang memasukkan hujung penyangkut baju ke dalam faraj mereka. Akar dan batang pokok juga digunakan untuk dimasukkan ke dalam faraj. Semua ini boleh menyebabkan luka dalaman, jangkitan, kerosakan rahim, sehingga pendarahan berat yang boleh mengakibatkan kematian wanita.

 

Women on Web

Kaedah yang paling selamat dan berkesan untuk menggugurkan kandungan di bawah 12 minggu kehamilan adalah gabungan ubat Mifepristone dan Misoprostol. Kedua-dua ubat ini senang dijumpai dan banyak dijual di Internet, namun terdapat juga banyak sindiket penipuan yang menjual pil ubat-ubatan yang palsu. Ini adalah senarai laman web sindiket penipuan yang dilaporkan.

Women on Web adalah perkhidmatan pengguguran secara perubatan yang merujuk rundingan atas talian kepada doktor berlesen. Jika anda mempunyai keperluan untuk melakukan pengguguran secara perubatan dan ingin mendapatkannya melalui Women on Web, sila lengkapkan rundingan atas talian ini. Setelah melengkapkan rundingan tersebut dan anda tidak mengalami sebarang kontrapenunjukan, bungkusan ubat-ubatan pengguguran (dengan pil Mifepristone dan Misoprostol) akan dikirimkan kepada anda melalui pos. Pengguguran secara perubatan dapat dilakukan dengan selamat di rumah selagi anda mempunyai maklumat yang tepat serta boleh mendapatkan bantuan perubatan kecemasan dengan segera sekiranya ada terjadinya komplikasi, di dalam kes-kes yang terpencil dan jarang berlaku.