Mereka yang membantah pengguguran seringkali mengeluarkan pendapat dan fakta-fakta yang menyeleweng untuk menentang keputusan mereka yang ingin menjalani pengguguran. Melalui artikel ini, kita akan melihat lima mitos tentang pengguguran dan apakah kebenaran di sebalik mitos-mitos tersebut.
Table of Contents
1. Pengguguran adalah berbahaya
Bahan bacaan anti-pengguguran selalu dipenuhi dengan cerita-cerita tentang bagaimana wanita mengalami kecederaan atau meninggal dunia semasa berada di klinik untuk menjalani pengguguran. Pengguguran adalah proses yang selamat sekiranya dijalankan dengan prosedur yang betul. Menurut laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengguguran yang selamat boleh dijalani oleh sesiapa sahaja.
Pengguguran yang tidak selamat, menurut WHO, adalah dijalankan oleh doktor atau pakar yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi. Pengguguran perlu dijalankan dalam keadaan dan suasana yang selamat untuk mereka yang ingin menjalaninya. Pelbagai kaedah pengguguran boleh dijalankan, malah anda boleh menjalaninya ketika berada dan berehat di rumah.
Terdapat dua pil yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menamatkan kehamilan, iaitu: Mifepristone dan Misoprostol. Kedua-dua pil ini berada dalam senarai ubat-ubatan yang penting. Ini adalah cara yang paling selamat dan berkesan untuk menggugurkan kandungan sehingga 12 minggu usia kehamilan. Untuk membaca lebih lanjut tentang pengguguran secara perubatan, anda boleh melayari artikel tentang prosedur tersebut.
Sekiranya anda tidak yakin untuk menjalani prosedur ini tanpa bantuan pakar, terdapat beberapa klinik yang menawarkan perkhidmatan mesra wanita. Senarai klinik tersebut boleh dilayari melalui pautan ini.
2. Tiada tindakan undang-undang untuk mereka yang menjalani pengguguran
Sebelum ini, hanya terdapat satu kes di mana wanita telah didenda kerana mendapatkan perkhidmatan pengguguran. Malar adalah seorang pekerja migran berusia 24 tahun dari Nepal, yang melakukan pengguguran pada minggu keenam kehamilannya, kerana risau akan kehilangan pekerjaannya. Hal ini kerana permit kerja akan ditarik apabila pekerja didapati hamil. Pihak berkuasa telah menyerbu klinik di mana Malar menjalani penggugurannya, pada 9 Oktober 2014 di Pulau Pinang, dan doktor yang menjalankan pengguguran tersebut juga telah ditahan. Meskipun kes-kes begini terlihat terpencil, namun kebanyakan kes-kes yang melibatkan pembuangan bayi semakin meningkat naik. Laporan menunjukkan terdapat lebih 100 kes pembuangan bayi yang dikesan setiap tahun, di Malaysia.
Artikel seperti ‘Pasangan kekasih ditahan disyaki buang mayat bayi’ (26 Januari 2020) dan ‘Padah buang bayi dalam lubang kumbahan‘ (2 Julai 2020) sebenarnya membincangkan masalah yang lebih tenat dalam masyarakat, di mana kurangnya pendedahan kepada perancangan kehamilan dan juga akses kepada pengguguran.
Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan kehamilan tidak terancang yang boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja. Panduan untuk mengelakkan kehamilan boleh dibaca dengan lebih lanjut melalui artikel ini. Sekiranya anda adalah golongan transgender yang memerlukan panduan pencegahan kehamilan, anda boleh melayari artikel ini.
3. Mereka yang menjalani pengguguran mementingkan diri sendiri
Pelbagai tuduhan terhadap mereka yang menjalani pengguguran sebagai mementingkan diri sendiri. Perempuan dan mereka yang hamil ditekan dan dibuli untuk meneruskan kehamilan mereka. Hal ini telah menimbulkan masalah dari segi kestabilan emosi dan mengganggu gugat kesihatan mental mereka.
Mereka yang hamil sebenarnya tidak mementingkan diri. Dengan menjalani pengguguran, mereka telah memilih untuk menjaga kesihatan diri mereka dan orang di sekeliling mereka. Kehamilan yang tidak terancang boleh membantutkan masa depan mereka. Menurut kajian, kebanyakan daripada mereka yang hamil tidak menyesali prosedur tersebut, malah berasa gembira dan lega.
4. Pengguguran boleh menyebabkan kemandulan
Pengguguran tidak akan mempengaruhi kesuburan seseorang itu. Anda boleh hamil sebaik sahaja selepas pengguguran, kira-kira 2 minggu selepas menjalani prosedur tersebut. Pengguguran boleh memulakan kitaran haid anda. Dalam hal ini, ovulasi, apabila telur dilepaskan oleh ovari, biasanya terjadi pada hari ke-14 dalam kitaran haid. Ini bermakna, anda boleh hamil selepas beberapa minggu anda menjalani proses pengguguran.
Doktor kebiasaannya menasihatkan agar anda mengelakkan aktiviti seks penetrasi sekurang-kurangya 2 minggu selepas anda menjalani prosedur pengguguran, untuk mengelakkan jangkitan dan komplikasi lain.
Sekiranya anda menjalani prosedur pengguguran yang tidak selamat dan melibatkan prosedur yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh WHO, anda mungkin akan mendapat komplikasi dan mempengaruhi kesuburan anda. Sila berjumpa doktor atau hubungi kami di Women on Web untuk sebarang pertanyaan tentang prosedur pengguguran yang selamat.
5. Pengguguran menyebabkan gangguan emosi dan mental
Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2019, kebanyakan mereka yang telah menjalani pengguguran tidak lagi merasa sedih ataupun kesal. Perasaan yang paling kerap dirasakan adalah lega. Ramai yang membuat keputusan untuk menjalani pengguguran demi kebaikan masa depan mereka.
Sebenarnya akses kepada kesihatan psikologi amat terhad jika dibandingkan dengan akses kesihatan fizikal. Akses yang terhad ini boleh menghalang mereka yang memerlukannya untuk mendapatkan sokongan. Di Malaysia, kebanyakan hospital menawarkan servis perkhidmatan psikiatri untuk mereka yang memerlukan preskripsi ubat untuk kesihatan mental.
Stigma perasaan tidak puas atau suka terhadap individu tertentu berdasarkan ciri-ciri yang mendapat tanggapan buruk masyarakat. Dalam hal seperti hak tubuh perempuan dan mereka yang boleh hamil, seringkali mendapat tentangan daripada masyarakat. Stigma yang wujud disebabkan oleh kehamilan yang tidak terancang boleh menganggu-gugat kesihatan mental mereka yang boleh hamil.
Apabila mereka yang hamil dipaksa untuk meneruskan kehamilan, kemungkinan yang besar mereka tidak gembira dengan pilihan itu. Hal ini kerana, pilihan itu bukan berpunca dari diri mereka sendiri.
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan tentang pengguguran yang selamat dan berkesan, jangan segan untuk menghubungi kami di Women on Web melalui emel: info@womenonweb.org. Kami sedia membantu anda.