Penjagaan Selepas Pengguguran

Apakah sebenarnya perasaan mereka yang hamil setelah menjalani pengguguran? Baca di sini untuk mengetahui stigma pengguguran dan mendapatkan bantuan.

Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2019, kebanyakan mereka yang telah menjalani pengguguran tidak lagi merasa sedih ataupun kesal. Perasaan yang paling kerap dirasakan adalah lega. Ramai yang membuat keputusan untuk menjalani pengguguran demi kebaikan masa depan mereka.

Namun begitu, tidak dinafikan, masih wujud lagi perasaan kesal yang berpunca dari stigma masyarakat. Untuk menghadapi masalah seperti ini, mereka yang telah menjalani pengguguran mungkin memerlukan bantuan psikologi. Ini termasuklah akses kepada terapi ataupun kaunseling yang mudah didapati.

Sebenarnya akses kepada kesihatan psikologi amat terhad jika dibandingkan dengan akses kesihatan fizikal. Akses yang terhad ini boleh menghalang mereka yang memerlukannya untuk mendapatkan sokongan. Di Malaysia, kebanyakan hospital menawarkan servis perkhidmatan psikiatri untuk mereka yang memerlukan preskripsi ubat untuk kesihatan mental.

Pengguguran bukanlah perkara yang membebankan. Sebaliknya, bagi mereka yang telah mendapatkan pengguguran, mereka melakukan pilihan yang terbaik untuk diri mereka. Erica Millar menerusi bukunya yang bertajuk Happy Abortion: Our Bodies in the Era of Choice menceritakan faktor politik tubuh yang menyebabkan terhadnya akses kepada pengguguran.

Perasaan Bersalah Berpunca dari Stigma

Apakah itu stigma?

Stigma perasaan tidak puas atau suka terhadap individu tertentu berdasarkan ciri-ciri yang mendapat tanggapan buruk masyarakat. Dalam hal seperti hak tubuh perempuan dan mereka yang boleh hamil, seringkali mendapat tentangan daripada masyarakat. Stigma yang wujud disebabkan oleh kehamilan yang tidak terancang boleh menganggu-gugat kesihatan mental mereka yang boleh hamil.

Apabila mereka yang hamil dipaksa untuk meneruskan kehamilan, kemungkinan yang besar mereka tidak gembira dengan pilihan itu. Hal ini kerana, pilihan itu bukan berpunca dari diri mereka sendiri.

Satu kajian mendapati bahawa mereka yang mendapat kehamilan tidak terancang dipaksa untuk keluar dari kawasan mereka, dijauhi oleh rakan-rakan serta tidak dapat meneruskan pendidikan dan pekerjaan di tempat asal mereka. Perkara seperti ini hanya akan menambahkan tekanan kepada mereka, apabila mereka tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Pilihan yang Membahagiakan

Adakah wujud pilihan yang membahagiakan? Di sebalik autonomi tubuh masing-masing, setiap orang berdaya untuk membuat pilihan secara mandiri. Pilihan ini yang akan membahagiakan kita, di mana kita selesa dengan hasilnya. Begitulah juga pilihan untuk menjalani pengguguran.

Sekiranya anda memerlukan bantuan psikologi, anda boleh merujuk artikel Women on Web untuk membantu anda mengharungi waktu yang sukar ini.

Sekiranya anda memerlukan akses kepada pengguguran, sila hantarkan email info@womenonweb.org. Kami sedia membantu anda.