Penularan pandemik Corona telah meninggalkan kesan yang mendalam di seluruh dunia. Untuk menghentikan penularan wabak Coronavirus, kebanyakan negara telah mengambil langkah untuk mengurangkan jarak fizikal di kalangan rakyatnya.
Orang awam diminta untuk sentiasa berada di dalam rumah agar mereka dapat mengurangkan interaksi fizikal sesama mereka. Para mahasiswa dan pelajar kini menjalankan pengajian di atas talian, di rumah. Orang awam bekerja di atas talian dari rumah. Rakyat diminta untuk tidak pergi ke ruang awam. Beberapa negara juga telah mengumumkan perintah berkurung, di mana lapangan terbang antarabangsa mereka telah ditutup untuk seketika. Beberapa syarikat penerbangan telah mengurangkan jumlah penerbangan mereka.
Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan telah diumumkan bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac. Namun begitu, ia kini dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020. Hanya 10 perkhidmatan yang dibenarkan untuk beroperasi, iaitu a) Makanan b) Air c) Tenaga d) Komunikasi dan Internet e) Keselamatan dan Pertahanan f) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Pembetungan g) Penjagaan Kesihatan dan Perubatan termasuk Penokok Diet h) Perbankan dan Kewangan i) E-dagang j) Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.
Dalam keadaan sebegini, bagaimanakah mereka yang hamil boleh mendapatkan akses kepada pengguguran?
Kesan COVID-19 terhadap Perkhidmatan Pengguguran
Penularan wabak ini menyukarkan mereka yang hamil tanpa dirancang untuk pergi ke klinik kesihatan atau hospital untuk mendapatkan pengguguran yang selamat. Ia sememangnya tidak mudah, terutamanya di negara di mana undang-undang pengguguran lebih ketat. Kemudahan kesihatan akan dipenuhi oleh mereka yang memerlukan bantuan.
Pengguguran secara perubatan, seperti yang disarankan oleh WHO, boleh dijalankan secara selamat di rumah sehingga 12 minggu kehamilan. Namun begitu, pil pengguguran yang dikirimkan mungkin mengalami sedikit kelewatan disebabkan oleh halangan sesuatu negara atau jumlah pesawat yang telah dikurangkan. Bukan sahaja itu, malah bekalan pil pengguguran, Mifepristone dan Misoprosto, tidak boleh diedarkan secara global seperti dahulu.
Bagaimana untuk Menjalani Pengguguran ketika Pandemik Corona?
Dalam situasi ini, pengguguran teleperubatan adalah jalan penyelesaian yang sesuai. Mereka yang hamil tanpa dirancang tidak perlu pergi ke klinik. Mereka juga tidak perlu berjumpa dengan orang lain. Mereka boleh berada di dalam rumah, berhubung dengan pakar terlatih, dan bungkusan kiriman pil pengguguran boleh dihantar ke alamat rumah mereka. Pengguguran boleh dijalankan dengan selamat di rumah, dengan ditemani mereka yang tersayang, secara bersendirian.
Mereka yang hamil tanpa dirancang hanya perlu mengisi rundingan atas talian. Sekiranya tiada kontraindikasi, bungkusan akan dihantar terus ke alamat rumah mereka. Maklumat dari doktor tentang bagaimana cara menggunakannya, apa yang perlu dijangkakan, tanda-tanda komplikasi, dan ubat tahan sakit akan dihantar melalui emel mereka.
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan lain, sila hubungi info@womenonweb.org.