Site icon Pengguguran

4 Siri Televisyen yang Menyentuh tentang Pengguguran

Televisyen merupakan suatu keperluan di setiap rumah pada suatu ketika dahulu. Dengan adanya televisyen, orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa dan juga hiburan. Semua ini melalui saluran rasmi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Namun begitu, dengan perkembangan masa kini, rangkaian televisyen tidak lagi terhad kepada media rasmi yang telah ditetapkan tetapi juga boleh didapati melalui langganan platform di Internet.

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan tentang beberapa siri TV yang menyentuh tentang pengguguran. Menariknya, pengguguran bukan sahaja dibincangkan pada alaf baru, tetapi telah mula dibincangkan sejak tahun 1970an!

Maude (1972)

Di dalam siri Maude ini, Maude (dilakonkan oleh Beatrice Arthur) berada di dalam dilema kerana dia sudah berusia lewat 40-an, dan hamil setelah berkahwin semula dengan Walter (dilakonkan oleh Bill Macy). Meskipun Maude seorang wanita progresif yang sering terlibat dengan aktivisme dan perbincangan hak-hak sivil untuk komunitinya, Maude berhadapan dengan kehamilan tidak terancang yang boleh membahayakan nyawanya.

Melalui beberapa sedutan babak yang dipaparkan di atas, komunikasi dengan pasangan tentang pilihan yang perlu dibuat amatlah penting. Maude akhirnya memilih untuk menamatkan kehamilan setelah berasa gelisah dan takut untuk meneruskannya.

Jessica Jones (2015)

Dalam episod ini Jessica Jones (dilakonkan oleh Krysten Ritter) membantu Hope Shlottman (dilakonkan oleh Erin Moriarty) untuk menggugurkan kandungannya. Keputusan itu dibuat oleh Shlottman kerana dia tidak mahu lagi meneruskan kehamilan, yang berpunca dari rogol dan manipulasi oleh pasangannya, Kilgrave.

Dalam babak ini, Jones membantu Shlottman mendapatkan ubat pengguguran kerana pada awalnya Shlottman mengupah seseorang di dalam penjara untuk memukulnya agar kandungannya itu gugur dengan sendiri.

Proses pengguguran tersebut berjaya, Jones juga menasihatkan langkah-langkah dan penjagaan yang sesuai untuk proses penggugurah tersebut.

The Fosters (2017)

Dalam babak ini, Emma (dilakonkan oleh Amanda Leighton) adalah seorang remaja bawah umur sedang berada di klinik Planned Parenthood, bersama dengan adik angkat pasangannya Brandon (dilakonkan oleh David Lambert). Pasangan Emma, Jesus (dilakonkan oleh Noah Centineo) sedang menghadapi komplikasi otak dan berada dalam rawatan terapi. Untuk menghadapi kehamilan ini, Emma merasakan mereka berdua (Emma dan Jesus) belum bersedia untuk menjadi pasangan ibu bapa. Meskipun begitu, masih ada rasa bersalah dalam dirinya untuk meneruskan pengguguran. Situasi ini adalah perkara biasa sebelum menjalani pengguguran.

Oleh tersebut, pentingnya anda mempunyai teman ketika menjalani prosedur pengguguran, dan selepasnya juga. Hal ini boleh membantu pemulihan segera untuk mereka yang menjalani prosedur pengguguran.

Jane the Virgin (2017)

Dalam babak ini Xiomara “Xo” Gloriana Villanueva (dilakonkan oleh Andrea Navedo) mendapati dirinya hamil dengan pasangan seks yang lain, Esteban. Rogelio de la Vega (dilakonkan oleh Jamie Camil) sedia untuk menemani Xo kerana dia sememangnya mempunyai perasaan terhadap Xo. Namun begitu, Xo membuat keputusan untuk tidak meneruskan kehamilannya kerana faktor usia. Ini keputusan penting yang dibuat oleh Xo, dengan pilihannya sendiri.

Babak-babak seperti ini memang penting untuk membiasakan perbincangan tentang untuk menamatkan kehamilan dan pengguguran, baik dengan diri sendiri dan pasangan. Komunikasi dengan orang yang kita percayai amatlah penting agar mendapat bantuan dan sokongan yang sewajarnya kita perolehi.

Sekiranya anda memerlukan bantuan dan sokongan, atau mempunyai sebarang soalan tentang pengguguran, anda boleh mengajukannya ke emel kami, info@womenonweb.org.

Exit mobile version